Tuesday, March 24, 2009

Pakaian & Aksesori yang Patut Anda Elakkan

Apabila berhias ingatlah Allah.
Bacalah doa, "Ya, Allah, cantikkanlah budi pekertiku seperti mana Engkau mencantikkan wajahku, amin".
Ingatlah semua, jika kita lupa dan riak akan kecantikan dan kemewahan yang dikurniakan, sekejap sahaja Allah boleh tarik balik. Janganlah putus asa dan murung kerana ujian Allah. UjianNya hanya untuk orang yang tahan lasak. Yang tiada ujian itu kebanyakannya orang yang lemah kerana Allah mengetahui mereka tidak mampu menanggungnya. Tetapi bagi yang tidak pernah mendapat ujian Allah, maka itulah juga ujian anda.

Hari Buka Simen Pertama






Pada 2 Nov 2008 , setelah 6 hari di wad Kota Bharu Medical Centre dan sebulan di rumah, aku bersama abah dan mummy ke sana lagi untuk buka cast kaki aku dan seterusnya sesi x-ray utk melihat perkembangan. Tulang dalam keadaan yang betul dan masih belum bercantum sepenuhnya. Ngilu betul mesin yang potong simen tu. Vibration dia...masih ingat sampai sekarang.

Sunday, March 22, 2009

Pakailah Seatbelt

Selain patah ankle akibat hentaman pedal brek ke tapak kaki aku, lutut aku juga menerima 12 jahitan kerana terhentak pada dashboard. Aku masih ingat satu persatu bagaimana aku melihat darah mengalir dari lutut aku. Pada mulanya aku sangkakan tempurung lutut aku sudah pecah. Tapi tak mungkin kerana lutut masih boleh dibengkokkan. Setiap kali cuba berdiri, setiap kali jugalah aku jatuh. Sesuatu yang tidak kena pada buku lali aku. Kebas, tiada pergerakan dan lembik. Nafas aku kencang, dada aku amat sakit, flashback hidup aku berputar-putar di fikiran. Aku hanya mampu melihat kekecohan orang ramai mengutip barangan dan kekacauan lalulintas di depan aku. Jelingan aku pada 2 orang atas van yang bertembung dengan aku tidak putus-putus untuk memastikan mereka selamat..hidup. Seorang patah kaki, seorang lagi patah tulang belakang. 40 minit aku rasa seperti menunggu seumur hidup untuk ambulans datang. Kami bertiga berkongsi mimpi ngeri atas ambulans yang sama. Hanya laptop ini yang aku peluk sepanjang masa hinggalah ke wad kecemasan. Basikal, beg baju, cenderahati perkahwinan kakak aku dan dokumen lain semuanya bertaburan di tepi jalan semasa trak aku dialihkan. Syukur semuanya disimpan di Balai Polis Gua Musang. Di hospital aku merasa dada aku yang sakit. Aku lihat kesan terbakar di baju aku dari bahu ke perut. Seatbelt...itulah penyelamat nyawaku.

Saturday, March 21, 2009

Walker Boot









Setelah bertongkat selama 3 bulan setengah. Aku memakai walker boot yang telah pun dibeli melalui eBay semasa kaki masih disimen yang berharga RM296.26. Nilainya kecil jika dibandingkan dengan keinginan aku yang ingin berjalan semula. Fungsinya supaya dapat berjalan tanpa menggerakkan ankle yang masih lemah dah sakit. Pun begitu, tongkat masih diperlukan kerana otot masih lemah dan sakit masih belum dapat aku handle. Setelah berpuluh keping x-ray dan mri-scan, yang terakhir menunjukan tulang-tulang ankle aku sudah esteoperosis kerana pemakaian simen yang lama dan tanpa tekanan berat tubuh ke atasnya. Situasi yang sama di mana angkasawan yang berada di orbit selama 3 bulan pulang dengan tulang yang rapuh. Doktor pakar aku terkejut kerana aku bawa bersama walker boot semasa hari buka simen yang terakhir. Ya sepanjang 3 bulan.. kaki aku disimen sebanyak 5 kali! Katanya kerja beliau mudah dengan pesakit seperti aku yang kononnya sudah tahu apa yang perlu dibuat. Sebenarnya, sepanjang terlantar di rumah. Google lah peneman aku.

Kisah di sebalik kemalangan ngeri.







Dua bulan sebelum kemalangan, iaitu pada bulan Ogos 2008, aku dengan berat hati melepaskan ikatan kasih dengan bakal isteri aku. Demi melihat dia bahagia di samping keluarga yang tidak mahu orang luar sebagai ahli keluarga, aku terpaksa terima permintaan dia yang sedang bercucuran air mata menerangkan keadaan kepada ku. Hubungan yang tersurat selama 3 tahun berakhir dengan hikmah yang cukup tersirat. Aku belajar meredhai segala ujian Allah dengan tabah. Kini sakit pada kecederaan kaki aku mengatasi semua kelukaan. Semoga proses penyembuhan akan berjalan lancar.

Tuesday, March 10, 2009

Talus ku patah.






Tulang talus - tulang yang menghubungkan tulang betis (tibia & fibula), calcaneus (tumit) dan navicular (kekura kaki) adalah sangat istimewa. Dikelilingi oleh rawan (cartilage) yang melancarkan pergerakan kaki selain berjalan seperti mencangkung, berlari, melompat dan menaiki tangga. Dalam talus ada saluran darah untuk untuk memberi zat kepada rawan ini. Talus selalu patah dalam kemalangan kereta, jatuh dari tempat tinggi dan snowboard injury. Talus aku patah sebagai Hawkin's Type 1 fracture. Apabila patah, saluran darah dalam talus boleh putus dan kemudiannya tulang itu akan mati. Apabila tulang mati, ia akan reput dan remuk. Apabila talus runtuh kaki akan pendek sebelah, tempang dan akan menanggung sakit setiap kali melangkah . Fracture talus aku ialah Hawkin's Type 1 di mana 0%-13% akan ada kemungkinan ini.
Hanya doa yang mampu aku munajatkan kepada Allah.

My First Car (18 April 2007 - 7 October 2008) - R.I.P









Dalam hidup kita tiada tanpa kali pertama. Begitu juga dengan kereta aku. Kali pertama aku membeli kereta dengan duit hasil titik peluh sendiri pada 18 April 2007. Kereta pertama aku bukan kereta tapi trak. Kereta pertama aku juga adalah kereta idaman aku yang akan aku simpan sampai bila-bila.
Gembiranya aku.. semua orang tahu bagaimana rasanya mendapat kereta pertama. Kereta pertama aku juga adalah yang terakhir buat masa ini. Dengan keadaan kaki patah membuatkan aku betul-betul 'patah kaki' bila kereta aku hancur total lost pada 7 October 2008. Setahun setengah..itulah jangka hayat trak aku.

Thursday, March 5, 2009

Alhamdulillah.



Sedar tak sedar, kini sudah 5 bulan aku terperuk di kampung sejak kemalangan yang hampir meragut nyawaku. Aku rindu mahu berjalan seperti biasa, berjalan mencari rezeki, berjalan untuk melihat dunia, dan berkayuhan basikal untuk riadah. Nikmat berjalan hanyalah sementara..dan kecacatan ini juga kuharapkan sementara. Kata doktor, aku akan pulih. Hanya semangat yang kuat diperlukan. Tapi kaki kanan aku semakin mengecil kerana tiada pergerakan yang lama semasa disimen. Otot-otot kaki kananku sudah mengecut dan lesu. Dugaan Allah tetap ada untuk orang yang mampu menanggungya. Tulang 'talus' pada ankle aku patah apabila pickup Nissan Frontier yang juga adalah kereta pertamaku yang baru berusia setahun lebih bertembung dengan van Celcom dari arah bertentangan. Hujan lebat di pagi 7 Syawal 2008 memang mengurangkan lagi penglihatan aku pada jam 4 pagi itu. Seperti biasa aku suka drive seorang diri dari Kota Bharu-KL atau sebaliknya. Dalam keasyikan memandu berlatarbelakangkan lagu raya membuat aku memandu dengan tenang. Kemeriahan hari raya masih terasa apatah lagi bersamaan dengan majlis kenduri kahwin kakak aku. Aku sangat tenang memandu sehinggalah aku dikejutkan dengan selekoh yang amat tajam di depan aku. Pada kelajuan 110km aku sempat turunkan gear tetapi drift masuk ke jalan bertentangan. Dari depan ada van putih yang sangat perlahan. Brek ditekan hinggalah masa terhenti tiba-tiba. Hentaman kuat mematikan kereta aku serta merta di Kilometer 88 Merapoh-KL. Kaki aku rasa basah kerana minyak hitam enjin meleleh atas betis aku. Aku cuba sedarkan diri aku. Buka tali pinggang keledar dan buka pintu tetapi gagal. Pintu aku remuk. Aku cuba bangkit ke sebelah dan turun ikut pintu penumpang depan. Apabila aku jejakkan kaki ke tanah, aku rebah. Pergelangan kaki kanan aku terkulai layu. Dengan tenaga yang masih ada aku melompat-lompat ke bahu jalan kerana aku takut dilanggar oleh lori kerana kereta aku terhenti di tengah jalan. Banyak juga kereta lain nyaris menghentam bangkai kereta aku. Aku lihat seorang pemuda juga melompat-lompat ke bahu jalan kerana kakinya juga patah. Seorang lagi terpaksa diusung. Syukur kedua-dua orang atas van itu tidak maut. Seorang pemuda dari restoran di tepi jalan bertungkus lumus membantu aku mengucap dan aku pula terbayang semua flashback kisah hidup aku yang lalu. Satu demi satu kereta memperlahankan kelajuan hinggalah polis tiba. Tidak lama kemudian ambulan datang dan aku dibawa bersama 2 orang pemuda itu ke Wad Kecemasan Hospital Gua Musang. Sejak itu bermulalah segalanya yang tidak pernah aku alami sepanjang hidup aku sehinggakan blog ini wujud. Kini, Alhamdulillah kesihatanku memberansangkan dan selera makan tidak terjejas. Kepada kawan-kawan, terima kasih atas sokongan kalian. Aku takkan lupa kepada yang datang melawat di hospital, yang menghiburkan hati aku, yang memberi semangat, yang bawa aku jalan-jalan cari makan dan terima kasih kepada yang selalu mendoakan kesejerahteraanku. Semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada kalian, amin.