Sunday, March 22, 2009

Pakailah Seatbelt

Selain patah ankle akibat hentaman pedal brek ke tapak kaki aku, lutut aku juga menerima 12 jahitan kerana terhentak pada dashboard. Aku masih ingat satu persatu bagaimana aku melihat darah mengalir dari lutut aku. Pada mulanya aku sangkakan tempurung lutut aku sudah pecah. Tapi tak mungkin kerana lutut masih boleh dibengkokkan. Setiap kali cuba berdiri, setiap kali jugalah aku jatuh. Sesuatu yang tidak kena pada buku lali aku. Kebas, tiada pergerakan dan lembik. Nafas aku kencang, dada aku amat sakit, flashback hidup aku berputar-putar di fikiran. Aku hanya mampu melihat kekecohan orang ramai mengutip barangan dan kekacauan lalulintas di depan aku. Jelingan aku pada 2 orang atas van yang bertembung dengan aku tidak putus-putus untuk memastikan mereka selamat..hidup. Seorang patah kaki, seorang lagi patah tulang belakang. 40 minit aku rasa seperti menunggu seumur hidup untuk ambulans datang. Kami bertiga berkongsi mimpi ngeri atas ambulans yang sama. Hanya laptop ini yang aku peluk sepanjang masa hinggalah ke wad kecemasan. Basikal, beg baju, cenderahati perkahwinan kakak aku dan dokumen lain semuanya bertaburan di tepi jalan semasa trak aku dialihkan. Syukur semuanya disimpan di Balai Polis Gua Musang. Di hospital aku merasa dada aku yang sakit. Aku lihat kesan terbakar di baju aku dari bahu ke perut. Seatbelt...itulah penyelamat nyawaku.

No comments:

Post a Comment